‘Eid Mubarak :)
September 21, 2009 life is... 4 Comments‘Eid Mubarak frens!
Lama sungguh blog ini tidak dikemaskini. Masa online yang ada lebih banyak digunakan untuk ‘mengurus butik’ (bunyinya macam serius pula kan?) dan juga menjengan blog rakan-rakan. Bukan kekurangan idea untuk menulis, tapi ‘malas’ menulis sekerat jalan.
Hari ke-2 ‘Eid, anak-anak ikut Abi dengan rombongan ipar duai beraya. Ummi tinggal dengan ‘Ikrimah yang siang tadi asyik meragam semasa berkunjung ke rumah saudara mara yang tak jauh mana letaknya. Baru saja ‘Ikrimah lelap; keletihan agaknya sebab dari siang tadi tidur tak lena. Nak beralih bulan kata Mak Ngah Ti. Panas agaknya kata Atok Kecik. Sakit perut ke? Tanya Abi. Kalau budak meragam, macam-macam hipotesis boleh terhasil kan?
Hari Raya sinonim dengan kemaafan. Dari sudut meminta; ia sudah jadi budaya. Dari sudut memberi? Harap-harap begitu juga. Bukan apa, kadang-kadang beri duit raya lebih ringan dari memadam luka dan dendam. Maklumlah semua orang punya hati dan perasaan. Saya pohon kemaafan teman-teman, dan InshaAllah, andai ada yang tersilap, terluka di hati saya yang tak seberapa molek ini, sudah saya maafkan.
Sudah 5 kali beraya bersama-sama suami; kali ke-3 beraya bersama keluarga di Malaysia. Tiba-tiba rindu pula gaya beraya di perantauan. Raya jauh dari keluarga, semuanya sendirian berhad. Masak sendiri, hidang sendiri. Kalau nak hias rumah pun agaknya, sendiri. Berbunga juga hati bila fikir-fikir masa beraya di Southampton dulu masih dapat makan lontong, nasi himpit, kuah kacang, rendang dan kuih-muih ala kadar. Bezanya, air tangan sendiri dan tak lupa juga kiriman kasih-sayang dari ayahanda bonda di Kelana Jaya. Wah, kalau sampai bungkusan dari Lot 7 mesti tak sabar-sabar nak ‘godek’ semua yang ada di dalam! Nak kira apa yang nak makan dulu, apa yang makan kemudian. Apa yang ‘cukup kot’ nak beri pada rakan-rakan. Antara bab yang paling syok untuk seorang musafir di rantau orang.
Tapi tahun ini, macam juga tahun lepas, masak-masak raya dah ada yang lebih pakar uruskan. Tinggal hidang, tinggal makan. Dan paling utama, ada acara ziarah saudara-mara yang tak dapatlah dirasa beberapa tahun yang lepas semasa merantau.Seronok ikut beraya, berkenal-kenalan. Meriah sikit rumah dengan kunjungan tetamu. Walaupun dah berkurangan berbanding masa arwah Abah masih ada, tapi jadilah…ada juga yang masih nak menjenguk kami sekeluarga.
Paling seronok, raya dengan keluarga sendiri. Berhimpun di rumah Ayong, makan besar dan bergambar sebelum keluar beraya. Cuma Abah dah tak ada lagi bersama…tapi syukurlah Mak masih ada anak-anaknya. Walaupun tak sama…inilah kehidupan. Dan saya sangat bersyukur kerana tahun lalu kami sempat pulang beraya dengan Abah buat kali terakhir. Saya harap kenangan yang secebis itu jadi pengubat rindu suami khususnya pada Abah yang hanya kira-kira 6 bulan dapat ditemaninya selepas kami kembali. Hmm…
Esok balik ke Lot 7 Insha Allah. Seronok sangat nak balik raya sebab kali ini ada perasaan yang lain amat. Tahun ini, dan setiap kali ‘Eid datang, saya rindu beraya dengan himpunan keluarga terutama Mama, Papa, sevenlords dan Atuk di Kg. Pisang. Sampai selalu saja 1 Syawal itu jadi hari yang cukup menguji hati dan perasaan…
Di sini orang selalu bercakap tentang enaknya lemang yang dibeli di Negeri Sembilan,tapi di Kg. Pisang lemang Atuk yang sudah diwarisi anak-anaknya memang kelaziman. Tambah lontong Mama yang memang ‘number one’! Dan lazim juga hidangan raya bukanlah stereotaip, kalau ke rumah Toksu yang berdekatan pasti ada laksa dan soto dan bermacam-macam hidangan lain bila bertandang ke rumah Mak Teh setiap hari kedua sambutan. Memasak beramai-ramai dari petang ke pagi raya, bergurau senda, sesekali terdengar bunyi keretapi di lintasan. Dan antara kelaziman yang sangat manis dalam ingatan hati ini, bunyi derap kaki warga rumah Atuk yang dulunya papan, bangkit menunaikan solat sunat tahajjud di pagi Syawal. Rumah Atuk yang penuh dengan sanak saudara, juga penuh dengan tazkirah-tazkirah spontan. Tak payah ada sesi khas, kalam mereka penuh mutiara yang tak ternilai harganya.
Seronok bermanja dengan Atuk dan makcik-makcik, malah merehatkan kepala di ribaan Atuk memang kesukaan. Kalau sakit kepala pun Atuk selalu tolong picitkan. Tapi itu dulu. Sekarang kaki Atuk dah tak larat nak menumpangkan saya yang juga sudah besar panjang. Lutut Atuk makin sakit sampai Atuk tak lagi sering berjalan-jalan. Saya pula tak pernah pulang beraya di kampung lagi kecuali sekali. Aidiladha tahun lalu, itupun selepas raya pertama hampir selesai kerana terperangkap dalam kesesakan hampir 7 jam. Bertolak selepas jam 3 petang, sampai jam 11 malam! Tapi Atuk masih senyum menunggu. Begitu juga pakcik-makcik, sepupu-sepupu dan anak-anak saudara yang masih belum pulang. Aduh, saya sayang kalian! *Jazakumullah khayr pada suami yang sudi bawa saya pulang ke kampung halaman raya pertama tahun lalu :)*
Tahun ini, saya sudah belajar menerima hakikat kehidupan. Dan walau hati masih sarat dengan kerinduan pada kenangan-kenangan semalam, saya cuba bersyukur dengan nikmat Tuhan yang ada di tangan. Di sekeliling saya, yang mungkin penuh dengan pengharapan.
Mama pesan dulu, saya harus sayang pada ibu mertua bukan saja sama, malah lebih dari saya menyayanginya kan? Tapi tak mungkinlah Mama yang seorang itu dipertandingkan dalam kategori sayang disayang. Lagipun, biarlah sayang saya pada semua ibu yang saya punya tidak dibanding-bandingkan. Hati ini, semuanya sayang. Dalam hati ini, semuanya mahu. Tapi berada dalam dua tempat pada satu waktu adalah mustahil yang sudah tentu! Saya tahu. Saya mengerti. Dan saya redha. Cuma saya bimbang kalau-kalau ada yang berkecil hati, ada yang fikir saya sudah melupakan. Tidak. Bukan semudah itu memadam sayang, cuma sayang saya yang cuba berlari ini, tak bisa bermaksud selalu hadir dalam pandangan dan sentuhan semua orang. Dan itu hanyalah kekurangan fizikal yang tidak terkesan pada sekelumitpun rindu dan kasih sayang yang sentiasa ada dan kian dalam InshaAllah. Moga Allah mengampuni kelemahan-kelemahan diri saya dan membahagiakan kedua orang tua saya yang sentiasa ingin membahagiakan orang lain…moga saya juga jadi sebahagian saham mereka di akhirat nanti Insha Allah…
Terima kasih Tuhan kerana masih ada lagi hari ini buat saya raikan bersama semua yang tersayang. Mudahkanlah perjalanan saya dan keluarga esok InshAllah…
Ya, saya memang ‘jiwang’!





